Cassio Yakinankan (KAFA) dan penyokong, tekad mahu mengembalikan “Kejuaraan” TRW

PEMAIN import baharu Kelantan, Cassio Fransisco De Jesus, 28, tidak mempersoalkan rekod lampau pasukan diwakili sebaliknya mahu memikirkan langkah seterusnya bagi mengecapi kejuaraan bersama pasukan itu musim depan.

Meskipun mengetahui Kelantan dibelenggu beberapa masalah pada musim lalu, pertahanan kelahiran Sao Paulo, Brazil itu menganggap ia perkara biasa dalam dunia bola sepak.
“Saya ada mengikuti perkembangan Kelantan sejak bermain bersama bekas pasukan, Semen Padang di Indonesia… ia tidak menjadi masalah buat saya kerana dalam bola sepak ada turun naiknya.

“Apa yang saya suka di Kelantan, ia sebuah pasukan bagus serta mengamalkan permainan laju,” katanya.

 

 

Katanya, setiap pasukan yang beraksi di Malaysia disifatkan mengamalkan corak permainan pantas selain taktikal.

“Ini kali pertama saya beraksi di Malaysia, saya lihat pasukan di negara ini ada perbezaan berbanding pasukan di Indonesia… mungkin di sini tahap permainannya lebih tinggi,” katanya.

Cassio yang fasih berbahasa Indonesia menyuarakan keyakinan kepada Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dan penyokong pasukan bahawa dia tekad mahu mengembalikan kejuaraan kepada pasukan itu musim depan.

“Apa yang saya mahu tahun depan adalah gelaran juara kerana kalau kamu seorang pemain bola sepak, harus fikir seperti ini kerana ia menjadi harapan kepada pengurusan pasukan dan penyokong.

“Saya tidak takut berada di Kelantan malah saya perlu menjadi lebih kreatif berdepan cabaran baharu musim depan.

“Bola sepak adalah kerja saya untuk membantu menyara keluarga… sudah pastinya saya akan bermain dengan bagus bersama Kelantan,” katanya.

Cassio dilaporkan sudah menandatangani kontrak dua tahun bersama KAFA bagi mewakili The Red Warriors (TRW).

Pemain dengan ketinggian 188 sentimeter itu menjadi pemain import ketiga TRW bagi musim baharu selepas mendapatkan khidmat pemain Korea Selatan, Do Dong Hyun dan import asal pasukan, Morgaro Gomis.

Sementara itu, KAFA dilaporkan mahu mendapatkan dua lagi awang import bagi mencukupkan kuota selari dengan penetapan pengendali liga tempatan, Perkongsian Liabiliti Bola Sepak Malaysia (FMLLP).

hmetro

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *