Respons positif kejutkan Uqasha

Kisah cinta pelakon jelita, Uqasha Senrose, 25, dengan pengacara Muzik Muzik, Hefny Sahad, 30, bukan lagi rahsia.

Masing-masing dilihat sudah berani menonjol sebagai pasangan kekasih dan terbaru pada majlis Anugerah Skrin 2017 yang berlangsung, baru-baru ini.

“Sebelum ini, saya berkawan dengan ramai lelaki tetapi semuanya tidak pasti. Namun, dengan Hefny saya yakin selepas empat tahun mengenalinya.

 

“Saya yang mulakan langkah untuk berkenalan, bukan sebaliknya. Pada peringkat awal ‘mencuba’, saya DM (pesanan peribadi) di Instagram,” katanya.

Pada awalnya Uqasha agak malu-malu untuk menceritakan kisah itu kepada Bling!. Dia cuba menyusun kata supaya tidak kedengaran terlalu ‘terhegeh-hegeh’.

Katanya, banyak cara dilakukan untuk menarik perhatian dan mengenali Hefny dengan lebih dekat, antaranya mengajak makan durian dan menonton wayang.

Bagaimanapun, teman lelakinya itu sering menolak dengan pelbagai alasan.

Malah, mereka pernah keluar menonton wayang bersama, tetapi duduk berasingan!

Dalam ketawa berkongsi kisah, Uqasha akui sikap Hefny membuatkannya rasa tercabar.

Selepas dua tahun ‘jual mahal’, pelakon yang juga kakak kepada Nelydia Senrose akui perasaan suka itu bertukar kepada sekadar kawan kerana ‘penat’ menjadi ‘perigi mencari timba’.

Ditanya apa yang membuatkannya sukakan Hefny, Uqasha berkata, dia melihat sifat dan ciri lelaki Melayu terakhir yang ada pada Hefny yang membuatkan dia jatuh hati.

“Selepas dua tahun mencuba, saya pun dah hilang minat untuk terus mencuba. Tapi pada November tahun lalu ketika kami keluar bersama-sama beberapa rakan, tiba-tiba dia meluahkan perasaan sukakan saya.

“Waktu itu saya terkejut dan seperti percaya atau tidak kerana selama dua tahun mencuba, kenapa baru sekarang dia mengaku sukakan saya?” katanya ketawa.

Uqasha berkata, soal jodoh diserahkan kepada Allah SWT walaupun ada perancangan secara perlahan-lahan untuk menamatkan zaman bujang.

Katanya, dia mengharapkan sekurang-kurangnya satu anugerah dalam bidang lakonan sebelum melangkah selesa ke fasa perkahwinan.

 

Teruja berlakon dengan Awie

Uqasha teruja apabila dapat bergandingan dengan Datuk Awie yang juga idolanya sejak kecil dalam filem Hantu Kak Limah arahan Mamat Khalid yang kini sedang menjalani penggambaran.

Menurut Uqasha, sejak kanak-kanak dia sering menonton filem lakonan penyanyi kumpulan Wings itu.

“Ketika di lokasi, saya berterus terang dengannya yang saya takut sebab kena berlakon dengannya. Namun, dia pandai membuatkan saya rasa selesa.

“Kami banyak bersembang bagi mendapatkan keserasian dan keselesaan kerana dalam filem ini, kami dipasangkan sebagai kekasih,” katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran filem itu di Taiping, Perak, baru-baru ini.

BERGANDING dengan Awie dalam filem Hantu Kak Limah.

Uqasha berkata, Awie tidak segarang seperti dakwaan segelintir pihak. Malah, pelakon itu sering berjenaka ketika penggambaran berlangsung.

Berkongsi lagi impian berlakon dengan idolanya itu, Uqasha tidak pernah terfikir satu hari nanti dia dapat bergandingan dengan Awie.

“Yalah! Ketika kanak-kanak, saya tidak pernah terfikir untuk jadi pelakon. Kalau jadi pelakon pun, saya tidak terfikir sempat atau tidak berlakon dengannya kerana jarak usia yang sangat jauh,” katanya ketawa.

Dalam filem Hantu Kak Limah, Uqasha membawa watak Puteri Bunian bernama Zaitun yang bercinta dengan Husin lakonan Awie.

Selain Uqasha, pelakon baru lain dalam rendisi Hantu Kak Limah adalah Erra Fazira, Zul Ariffin, Mus MAY, Datuk Seri Vida, Jue Aziz, Pekin Ibrahim dan Ropi Cecupak.

Barisan pelakon lama terdiri seperti Delimawati sebagai Kak Limah, Rab Khalid (Yeh Sekupang), TJ Isa dan Sharwani dalam filem yang pernah mencipta fenomena pada 2010 itu.

Sumber – hmetro

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *