Ringan kepala kontrak tamat

ZAHASMI Ismail memerlukan tempoh bertenang sebelum memutuskan hala tuju seterusnya selepas kontraknya sebagai jurulatih Kelantan berakhir secara rasmi hari ini.

Zahasmi berkata, beliau berasa lega apabila ikatan bersama pasukan itu terlerai selepas melalui pelbagai cabaran sepanjang memimpin The Red Warriors musim ini.

“Saya berasa ringan kepala selepas tugas sebagai jurulatih Kelantan tamat hari ini. Ini kerana sepanjang semusim mengendalikan pasukan itu, saya benar-benar berserabut dengan pelbagai masalah yang melanda.

 

“Sejak awal hingga hujung musim, masalah datang silih berganti serta bertimpa-timpa yang bukan saja memberi tekanan kepada saya malah pemain.

“Antaranya adalah tunggakan gaji yang sedikit sebanyak menjatuhkan moral pemain. Saya dapat lihat ada pemain seolah-olah hilang semangat untuk bermain kerana masalah ini.
“Begitupun sebagai jurulatih, saya berusaha sebaik mungkin menjadikan Kelantan tetap kompetitif bersaing sehingga pada satu ketika pernah menduduki tangga keempat liga,” ujar Zahasmi.

Namun, menurut beliau, hukuman pemotongan tiga mata oleh Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) ke atas pasukan itu menjadi titik awal kejatuhan Kelantan.

“Nampak sedikit, hanya tiga mata namun kesannya sangat mendalam kepada kami kerana menyentap semangat pasukan,” katanya.

ZAHASMI (dua dari kiri) lega selepas kontraknya bersama Kelantan tamat hari ini.

Keadaan diburukkan lagi dengan penghijrahan penjaring utama mereka, Mohamed Ghaddar ke Johor Darul Ta’zim ketika jendela perpindahan dibuka pada pertengahan musim.

 

“Sebagai jurulatih, saya beranggapan KAFA (Persatuan Bolasepak Kelantan) membuat kesilapan besar dengan menjual Ghaddar pada ketika pemain itu serta pasukan sedang berada pada prestasi terbaik.

“Tapi, kita tidak tahu apa punca sebenar mereka membuat keputusan itu. Namun, ketiadaan Ghaddar jelas meninggalkan kesan amat mendalam kepada pasukan kami, apatah lagi penggantinya gagal mengisi kekosongan itu,” katanya.

Menurut Zahasmi, beberapa isu lain yang tercetus dalam pasukan itu akhirnya menyebabkan dia mengambil keputusan untuk berehat walaupun ketika itu nasib Kelantan ibarat telur di hujung tanduk kerana sedang berada di ambang kejatuhan ke Liga Perdana.

Mujur kemenangan 3-1 ke atas Melaka pada perlawanan terakhir 28 Oktober lalu menyelamatkan mereka untuk kekal beraksi dalam Liga Super musim depan.

“Sebenarnya, selain isu kewangan, banyak lagi masalah dalam pasukan Kelantan yang menyebabkan saya tidak tertanggung lagi dan minta berehat. Tapi, tidak molek untuk saya dedahkan.

“Sekarang, kontrak saya sudah tamat, saya mahu berehat serta menenangkan diri sebelum memikirkan hala tuju seterusnya. Kalau ada rezeki, saya akan kembali sebagai jurulatih. Pengalaman perit bersama Kelantan tidak akan membuatkan saya serik,” ujar Zahasmi.

sumber – hmetro

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *