“Saya Anggap Ini Rezeki Terpijak” – Thanabalan

PETALING JAYA:  Kepulangan semula penyerang skuad bawah 22 tahun (B-22) kebangsaan, N.Thanabalan untuk memperkuat pasukan Negeri Sembilan musim depan berlaku tepat pada masa.

Ini kerana skuad Hobin Jang Hobin itu mendapat tiket percuma untuk beraksi di kancah Liga Super musim depan bagi mengisi salah satu slot yang dikosongkan selepas Felda United dan T-Team diturunkan pangkat bersaing di pentas Liga Premier.

Malah, khabar gembira itu sebenarnya diluar jangkaan Thanabalan.

 

 

Penyerang kelahiran Rantau, Negeri Sembilan itu tidak menduga ‘rezeki’ untuk membawa pasukan kelahirannya kembali ke kancah Liga Super datang lebih awal.

“Saya memang sudah berazam untuk membantu Negeri Sembilan musim ini. Jadi saya anggap tiket percuma untuk beraksi di Liga Super sebagai rezeki terpijak untuk pasukan ini.

“Saya amat gembira… tak sangka pula rezeki itu datang lebih awal. Khabar gembira ini sudah tentu menyuntik semangat semua pemain untuk memberi saingan sengit kepada pasukan lain nanti,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Thanabalan yang juga penjaring terbanyak Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu mengesahkan akan kembali memperkuat pasukan Negeri Sembilan musim depan selepas kontrak pinjamannya bersama Felcra FC berakhir hujung bulan lalu.

“Kontrak saya bersama Felcra sudah tamat. Buat masa ini saya sedang fokus menjalani latihan bersama skuad B-23 negara sebelum kembali memperkuat Negeri Sembilan musim depan,” katanya.

Menurut penyerang berusia 22 tahun itu, beliau turut berasa teruja untuk mewakili pasukan Negeri Sembilan beraksi pada saingan Liga Super musim depan kerana ia pastinya menjanjikan pengalaman yang berbeza.

“Saya pun main dalam Liga FAM sebelum ini. Jadi sudah tentu peluang beraksi di kancah Liga Super akan memberi pengalaman baharu kepada saya,” katanya.

Pada masa sama, beliau berazam untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad Hobin Jang Hobin itu.

“Saya akan cuba membantu pasukan dengan memberikan persembahan yang terbaik. Saya juga akan cuba mendapat tempat dalam skuad utama nanti,” katanya.

 

 

Pada Isnin, Ketua Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam mengumumkan Negeri Sembilan yang menduduki tangga kelima Liga Premier musim ini bersama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) diberi slot automatik untuk bersaing dalam Liga Super 2018.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan mereka akur dengan keputusan FMLLP dan akan memanfaatkan peluang tersebut bagi membentuk pasukan yang mantap untuk musim depan.

“Negeri Sembilan akan membentuk pasukan mantap untuk memberi saingan terbaik kepada pasukan lawan dalam Liga Super nanti. Insya-Allah,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

mstar

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *