Wedding Planner, Sekali lagi didakwa menipu..!!!

PEMILIK syarikat perancang perkahwinan Zurin Jundi yang pernah didakwa di Mahkamah Majistret Klang, Oktober lalu, selepas didakwa menipu pelanggannya, dihadapkan pula ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini, atas tuduhan memperdaya seorang pelanggan membabitkan RM8,500, Mei lalu.

Bagaimanapun, Zurina Ahmad Jundin, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.
 Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa memperdayakan Nor Ika Nadzirah Sirajudin supaya menyerahkan wang tunai RM8,500 sebagai bayaran deposit bagi kos upah pakej perkahwinannya yang berlangsung pada 16 September lalu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Zurin Jundi Wedding Planner, Bandar Baru Uda, Johor Bahru, bermula 22 Mac hingga 13 Mei lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Mohd Nasir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Disember ini bagi sebutan semula untuk serahan dokumen.

Pada 30 Ogos lalu, Harian Metro melaporkan lebih 100 pengantin dan bakal pengantin mendakwa terpedaya dengan tawaran syarikat dengan anggaran kerugian keseluruhan mencecah RM500,000.

Berpuluh mangsa yang didakwa ditipu menyerbu syarikat Zurin Jundi sehingga tular di media sosial berikutan kegagalan syarikat perancang perkahwinan itu menyediakan sajian makanan, pelamin dan gambar perkahwinan.

Kebanyakan bakal pengantin yang menjadi mangsa mendesak syarikat perancang perkahwinan itu memulangkan semula duit yang dibayar antara RM2,000 dan RM10,000.

Pada 5 September lalu, peguam Zurin Jundi tampil memohon maaf dan akan membuat pembayaran secara berkala kepada pelanggan yang mendapat perkhidmatan kurang memuaskan.

Sumber – hmetro

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *